UNIT 2 : TMK Untuk Pembelajaran Tutorial

 

OBJEKTIF
Di akhir unit ini, guru-guru akan dapat :
• menerangkan maksud pembelajaran tutorial.
• menerangkan bagaimana TMK dapat digunakan untuk pembelajaran tutorial.
• merancang aktiviti pembelajaran tutorial yang menggunakan TMK.
• melaksanakan aktiviti pembelajaran tutorial yang menggunakan TMK

Apa Maksud TMK Untuk Pembelajaran Tutorial?

TMK dikatakan untuk pembelajaran tutorial apabila diguna untuk menyampaikan kandungan pelajaran berdasarkan urutan yang telah ditetapkan. Pembelajaran tutorial ini merangkumi :
• pembelajaran ekspositori,( Pembelajaran ekspositori merujuk kepada suasana pembelajaran di mana guru menyampaikan maklumat kepada murid yang pasif.
• demonstrasi sesuatu fenomena yang ditunjukkan dan dikawal urutan, babaknya oleh sistem, dan
• latihan atau latihtubi yang disampai dan dikawal oleh sistem.

Alat TMK yang selalu diguna untuk pembelajaran tutorial ialah komputer dan perisian pendidikan sama ada yang disimpan di dalam CD-ROM, cakera keras ataupun laman web. Istilah Computer Assisted Instruction (CAI) diguna untuk menggambarkan penggunaan komputer dalam p&p. Kemudiannya istilah Intelligent Computer Assisted Instruction atau Intelligent Tutoring System pula digunakan. Perubahan ini seiring dengan perkembangan yang berlaku dalam reka bentuk perisian pendidikan yang berciri kecerdasan. Ciri ini melahirkan perisian pendidikan yang berupaya menyesuai maklumat yang disampai dengan kemampuan dan keperluan murid. Dengan perkembangan TMK, perisian kursus yang ada pada hari ini kebanyakannya berciri multimedia.

Secara umum, setiap perisian pendidikan mengandung satu atau mengandung satu atau lebih daripada komponen berikut:
• mempersembahkan maklumat,
• membimbing,
• menyediakan/memberi latihan, dan
• menilai pencapaian

Sebahagian besar perisian pendidikan yang diguna dalam pembelajaran tutorial direka bentuk berdasar kepada model tradisional p&p, model transmisi, yang melihat guru sebagai penyampai maklumat utama dan murid sebagai penerima. Perisian pendidikan seperti ini lebih mudah diadaptasi oleh guru (Clack dan Sun, 1996).

Bagaimanapun, guru harus berhati-hati dalam melaksana pendekatan ini. Kesilapan dalam memberikan pertimbangan boleh:
• mengakibat pembaziran masa dan tenaga.
• menghalang penggunaan kemudahan TMK yang lebih produktif.
• menjurus ke arah penyalahgunaan kemudahan TMK.
• mengakibatkan lebih banyak masa diperlukan oleh murid untuk belajar sesuatu bidang ilmu.

Sebelum guru mengguna pendekatan ini, perkara-perkara berikut perlu diberi pertimbangan:
• Ada perisian pendidikan yang sesuai. Untuk tujuan ini, guru perlu terlebih dahulu menilai setiap perisian pendidikan yang hendak diguna oleh murid.
• Ada peralatan TMK yang sesuai untuk melaksana perisian.
• Ada kemahiran mengendali peralatan TMK.
• Ada keperluan untuk mengguna TMK (penggunaan TMK dapat membantu murid memahami dan menguasai pengetahuan yang dikehendaki).

Setelah pasti benar-benar wujud keperluan, guru hendaklah merancang penggunaan TMK, bukan dibuat secara bidan terjun. Perancangan ini perlu mengambil kira perkara-perkara berikut:
• Lokasi peralatan TMK (dalam kelas atau di luar kelas).
• Penggunaan secara berkumpulan atau individu.
• Penggunaan di dalam atau di luar waktu persekolahan.

Apa Situasi Yang Sesuai Untuk Guna Pendekatan Ini?

Penggunaan TMK untuk pembelajaran tutorial sesuai diguna dalam situasi berikut:
• Kelas yang mengandung murid yang ramai dengan kemampuan belajar yang berbeza. Dalam situasi ini, guru boleh memberi tumpuan kepada sebahagian murid sementara sebahagian yang lain mengguna komputer.
• Guru terpaksa bertugas luar dan kelas diselia oleh guru ganti. Dalam situasi ini, guru tersebut boleh merancang pembelajaran mengguna komputer.
• Terdapat murid yang sukar mengikuti pengajaran guru. Dalam situasi ini, guru boleh menggunakan perisian pendidikan khusus untuk pemulihan.
• Terdapat murid cerdik yang memerlukan aktiviti pengayaan. Dalam situasi ini, perisian pendidikan yang mencabar minda boleh diberikan kepada mereka.

Apa Kelebihan Mengguna TMK?
• Dapat mengindividukan pembelajaran
• Murid belajar mengikut kemampuan sendiri.
• Meningkatkan motivasi murid untuk belajar.
• Murid boleh belajar tanpa penyeliaan atau dengan penyeliaan guru yang minimum.

Make a Free Website with Yola.